Amanah Jangan Dikhianati



 

Amanah merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar AMANAH yang telah diletakkankan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. Setiap individu bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah satu amanah yang dipikulkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, majikannya, negaranya dan masyarakat seluruhnya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah salah seorang daripada khalifah kerajaan Bani Umayyah yang terkenal dengan sifat amanahnya. Pada suatu malam ketika Baginda sedang tekun menyiapkan kertas rasminya dalam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Setelah puteranya duduk, baginda pun memadamkan lampu yang berada di atas meja yang digunakan oleh baginda ketika baginda bekerja pada malam itu.Puteranya merasa hairan lalu bertanya,

 

"Kenapa ayahanda padamkan lampu ini? Bukankah lebih baik kita berbincang di bawah cahaya lampu yang terang."

 

Khalifah Umar pun menjawab,"Benar katamu wahai anakku, tetapi engkau harus ingat, lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga."

 

Kemudian baginda menyuruh seorang pelayan supaya membawa lampu yang lain dari dalam biliknya.Setelah lampu itu dinyalakan maka baginda pun berkata kepada puteranya,

 

"Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa yang hendak anakanda bincangkan dengan ayahanda."

 

Mutiara Kata : Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang tidak lekas marah, yang pemalu, yang merasa cukup, yang menjaga diri dari meminta, bapa keluarga yang bertaqwa dan Allah marah pada orang yang keji perbuatannya, buruk lidahnya, suka meminta dan kurang cerdik.



p/s: Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan hamba-Mu yang penuh dengan nilai kesabaran dan kemanusiaan.. Amin Ya Rahman Ya Rahim..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...