Jenis Perhubungan Yang Perlu Dikekalkan Dalam Hidup




Kawan Rapat Sejak Kecil


Selalunya apabila anda mempunyai kawan sewaktu kecil, mereka ini akan menjadi kawan anda juga sepanjang tempoh pembesaran anda. Kawan sebeginilah yang perlu anda kekalkan apabila dewasa. Tetapi ini tidak bermakna nada perlu menjejaki semua kawan-kawan sepermainan sewaktu anda kecil. Jika anda rapat dengan kawan atau dengan sekumpulan kawan sepanjang zaman persekolahan anda, jadi seharusnya anda perlu mengekalkan perhubungan sebegitu sehingga bila-bila. Tidak dapat dinafikan anda sudah pasti menyimpan banyak kenangan manis bersama dan adalah seronok jika dapat mengingati dan mengimbas kembali saat-saat gembira itu bersama dengan orang yang anda kenali daripada orang yang tidak tahu apakah yang sedang anda ceritakan itu. Namun begitu tidak dapat dinafikan adalah sukar untuk mengekalkan perhubungan sebegini terutamanya jika anda dan rakan anda itu mula mempunyai kehidupan masing-masing seperti kerja yang berlainan, perkahwinan dan sebagainya. Malah ramai daripada kawan-kawan anda telah berpindah jauh ataupun anda pula yang berpindah. Apa pun, anda dan kawan anda itu akan berkongsi satu perasaan terhadap kampung anda kerana di situlah asal anda dan juga mereka. Andai ini berlaku, jika boleh berhubunglah antara satu sama lain melaui telefon, e-mel ataupun melawat antara satu sama lain jika berkesempatan. Adalah baik untuk mempunyai kawan di dalam kehidupan anda yang mengetahui siapakah anda dan di manakah anda berada sewaktu anda membesar.

Ahli Keluarga

Perhubungan yang anda bina dengan ahli keluarga kandung dan juga ahli keluarga yang bertambah seperti ipar duai dan sanak saudara merupakan perhubungan yang amat penting yang anda ada dalam hidup ini. Anda sepatutnya cuba untuk sentiasa kekal berhubungan dan rapat dengan ahli keluarga anda. Habiskan masa cuti bersama jika boleh. Jika anda tinggal jauh dari mereka, cuba cai jalan untuk melawat satu sama lain kerana dengan cara ini anda mungkin tidak akan berpisah. Jangan biarkan perselisihan faham merosakkan perhubungan keluarga ini. Kadangkala terdapat pelbagai sejarah dan kisah silam yang dapat membuatkan emosi negatif anda kembali memuncak tetapi adalah penting bagi anda untuk mencari jalan mengekalkan perhubungan keluarga agar sentiasa menjadi rapat dan mungkin anda akan menyesal jika tidak melakukannya.

Kawan Sosial

Setiap orang mengenali seseorang yang menjadi nadi penggerak kepada kehidupan bersosial dan bermasyarakat. Orang sebegini adalah amat penting untuk anda kekalkan perhubungan kerana mereka akan membuatkan kehidupan sosial dan bermasyarakat anda sentiasa hidup. Anda mungkin tidak akan memunyai ikatan dengan orang sebegini tetapi anda dan dia mungkin serasi dan apabila bersama anda akan berasa seronok. Kekalkan kawan sebegini dalam hidup supaya hidup anda gembira dan penuh keceriaan.

Kawan Sekerja

Dalam dunia perniagaan, selalunya ia berkaitan dengan siapakah yang anda kenal. Anda tidak sepatutnya melupakan hubungan anda dengan bekas majikan atau rakan sekerja kerana anda tidak tahu bilakah masanya anda akan memerlukan mereka terutamanya jika anda memerlukan bantuan mereka. Lagipun, anda sebenarnya lebih banyak menghabiskan masa bersama dengan kawan sekerja daripada keluarga anda. Jangan lupa saling berhubungan dengan bekas kawan sekerja dari masa ke semasa kerana cara ini akan membuatkan anda sentiasa membina ‘contact’ da nsekali gus memberikan tanggapan positif kepada mereka yang pernah bekerja dengan meraka.

Kawan Sepengajian

Jika anda memasuki pusat pengajian tinggi, sudah tentu anda tahu perhubungan yang anda bina dengan rakan sekampus merupakan perhubungan yang istimewa. Memasuki pusat pengajian tinggi merupakan langkah pertama bagi anda untuk memasuki alam kedewasaan. Malah sesetengah persahabatan yang anda cipta pada ketika ini selaunya amat mendalam. Setelah tamat pengajian carilah peluang untuk berjumpa dengan mereka sewaktu perjumpaan semula supaya anda tahu bagaimana anda dan kawan anda menjalani kehidupan mereka.


p/s: Moga perhubungan kita semua berkekalan..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...