[Surau Pulai Chondong]
[Menara Surau Pulai Chondong]
Suatu ketika era 1970-an di Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Berkenaan Kelas Dewasa bagi rakyat dan penduduk di Malaysia.
1. Bagi membasmi buta huruf di kalangan rakyat, kerajaan pada ketika itu telah memperkenalkan Kelas Dewasa iaitu kelas yang dikhaskan kepada golongan dewasa untuk memberi pelajaran khususnya dalam membaca, menulis dan mengira.
2. Bagi golongan dewasa perempuan, tempatnya adalah di Madrasah (Balaisah) Kg. Cherang manakala lelaki pula di Surau Pulai Chondong. (Surau ini diasaskan oleh Tok Pulai Chondong dan menara surau berbentuk segi lapan masih ada sehingga ke hari ini).
3. Apabila keluarga mertua kakak sulung datang ke rumah nenek di Kg. Cherang, Pulai Chondong, dan bertanya samada (boleh ditulis juga dengan sama ada) nenek boleh membaca rumi, nenek menjawab boleh tetapi tidak berapa lancar kerana masalah rabun. Umur nenek ketika itu, dalam lingkungan pertengahan umur '70.
4. Jarang atau kadang-kadang sahaja kita dengar golongan berusia '70-an dapat membaca rumi kerana dahulu, tulisan Jawi sahaja yang diajar kepada mereka. Jika rumi, sudah biasa diajar kepada golongan lepas pada umur mereka.
5. Menurut kata nenek, salah seorang tenaga pengajar yang telah diamanahkan untuk mengajar di Kelas Dewasa adalah seorang bekas tentera ( Pulai Chondong berdekatan dengan Kem Desa Pahlawan, kem Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat). Kelas akan dijalankan selepas solat fardu Isyak.
6. Pada era berkenaan, terdapat tanggapan-tanggapan negatif berhubung kelas tersebut.
7. Terdapat kata-kata negatif yang nenek masih ingat sampai sekarang dari salah seorang jiran yang menyambut negatif akan penubuhan Kelas Dewasa iaitu, "Jong ngong" yang bermaksud 'Pak Turut'. ( Jiran yang telah menuturkan ayat tersebut sampai sekarang buta huruf.)
8. Pada masa berkenaan juga, nenek pergi ke kelas sambil membawa mak saudara yang berumur 2 tahun. Dia tidak menghiraukan kata-kata negatif yang dilemparkn berkaitan Kelas Dewasa. Apa yang dia telah ucapkan adalah seperti berikut, " Hok nok ngaji nyo aku, buke mung. Hok nati panda pun aku, buke orghe lain". ( Yang nak belajar adalah aku, bukan engkau. Yang nanti pandai pun aku, bukan orang lain. )
9. Tidak ketinggalan, datuk yang turut memandang dingin akan kelas ini. Dia malas untuk ke kelas berkenaan kerana jarak di antara rumah dan Surau Pulai Chondong bukan dekat dan terpaksa melalui jalan yang gelap gelita. Tidak seperti hari ini yang ada lampu jalan dan jalan sudah berturap dengan elok dengan tar. Pada zaman '70-an, kampung-kampung di Malaysia ditanam dengan getah. Ancaman binatang buas seperti babi hutan, ular dan lain-lain perlu diambil kira.
10. Apa yang ingin ditekankan di sini, sekiranya ada kesungguhan pasti akan berjaya. Usah biarkan kata-kata negatif menjadi batu penghalang untuk mencapai kejayaan. Sekiranya ianya adalah sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat, eloklah diteruskan walaupun sukar.
11. Selamat Hari Guru kepada bekas-bekas guru yang telah mengajar dari zaman awal persekolahan sehingga ke hari ini. SRK Sultan Ismail 3, Kota Bharu, Kelantan ( 1992-1997 ), Maktab Pengajian Islam, Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan (1998 - 2000), SMK Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan ( 2001 - 2003 ), Maktab Sultan Ismail @ Sultan Ismail Collage, Kota Bharu, Kelantan ( 2004 -2005 ), UiTM Perlis, Kolej Universiti Teknologi & Pengurusan Malaysia (KUTPM) dan sekarang Management & Science University (MSU).