'Biar Miskin Harta Tapi Kaya Ilmu'



NIK MUSTAPHA (dua dari kanan) bersama para pelajar cemerlang (dari kiri) Hafiz, Noraziah dan Muhammad Iskandar pada konvokesyen UPM semalam.
-------------------------------------------------------------------------------------


SERDANG - "Papa nak kamu sambung master (sarjana), papa tak nak keluarga kita dipandang rendah. Biarlah miskin harta tetapi jangan miskin ilmu.''
Itulah antara pesanan Allahyarham Mohd. Rashid Taib, 54, yang masih terngiang-ngiang pada telinga anaknya, Noraziah Anida, 28, sebelum menghembuskan nafas terakhir tahun lalu.
Berpegang kepada kata-kata azimat itu, hasilnya semalam Noraziah mula mengecapi kejayaan apabila dianugerahkan Graduan Cemerlang Akademik (Peringkat Sarjana Muda) pada majlis konvokesyen ke-10 Universiti Putra Malaysia-Institusi Pengajian Tinggi Swasta (UPM-IPTS).
"Papa meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas, lepas batuk dan sesak nafas. Apa yang memilukan saya, hari papa meninggalkan kami 12 beradik serta ibu, serentak dengan ulang tahun hari lahir saya.
"Kata-katanya bagaikan azimat, sebab itulah anugerah ini untuk papa,'' katanya yang menghentikan perbualan setelah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui semalam.
Hasil kejayaan itu, Noraziah yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Kolej Teknologi Bestari menerima piala dan sijil daripada Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha Raja Abdullah.
"Saya akan sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana tahun depan untuk memenuhi permintaan arwah papa,'' ujar Noraziah.
Seorang lagi penerima Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan (Peringkat Diploma), Hafiz Baharudin, 24, berkata, pengalaman bekerja sebagai buruh kasar di sebuah syarikat petroleum untuk mencari wang tambahan merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu belajar.
"Saya malu nak minta-minta (wang) dengan orang tua sebab tahu mereka pun susah. Sebab itu saya kerja sendiri. Bayangkanlah, saya masih bekerja awal pagi walaupun esoknya peperiksaan," kata pelajar Kolej Shahputra itu yang menerima piala dan sijil.
Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan (Peringkat Sarjana Muda) pula dimiliki Muhammad Iskandar Zulqarnain M. Suffian, 27, dari Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics yang turut menerima sebuah piala dan sijil.


'Biar miskin harta tapi kaya ilmu'
Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my

Kosmo! Jumaat 24 Oktober 2008

_______________________________________________________________________________________________

p/s: sebagai peringatan dan panduan buat diriku dan semua

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...