PROGRAM INTEGRASI NASIONAL 3S (SEMENANJUNG, SABAH & SARAWAK)
1BELIA 1MALAYSIA
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2010
Pengenalan
Program ini dilaksanakan bagi mewujudkan interaksi dan perpaduan yang lebih erat di antara belia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan belia yang pelbagai kaum dan etnik. Bermula dengan masyarakat majmuk sewaktu mencapai kemerdekaan, kita memulakan proses asimilasi dan seterusnya menuju ke arah pembentukan 1Belia 1Malaysia.
Seramai 28 orang belia dari seluruh negara yang berbilang bangsa dan agama telah terpilih untuk menyertai program ini yang bermula bermula dari 12 hingga 27 Julai 2010 yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Seorang wakil dari Kelantan, Muhamad Helmi Bin Abdullah, sukarelawan Bulan Sabit Merah cawangan Kelantan telah terpilih mewakili negeri untuk mengikuti program berkenaan.
Objektif
- Mendedahkan kepada para belia di Malaysia tentang perkembangan ekonomi, politik dan sosioekonomi di seluruh negara iaitu di Semenanjung, Sabah dan sarawak.
- Menerapkan identiti nasional ke arah 1Belia 1Malaysia dengan penerapan budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, kesetiaan dan integriti dalam diri peserta.
- Meningkatkan semangat patriotik dan nilai jati diri di kalangan belia Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
- Mendekatkan golongan belia dengan masyarakat melalui program interaksi dan aktiviti khidmat masyarakat.
- Memupuk semangat kesukarelaan di kalangan belia agar boleh melakukan transformasi ke arah 1Belia 1Malaysia secara efektif.
Laporan Aktiviti Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Batu Uban 12 - 14 Julai 2010
Peserta program berkumpul di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Batu Uban Pulai Pinang. Sesi taklimat perjalanan program dan borang penyertaan diisi oleh para peserta dan diserahkan semula kepada pegawai Cawangan Pembangunan Sosial, Kementerian Belia dan Sukan
Sesi ‘Ice Breaking’ dan pemilihan Penghulu, Penghuluwati dan AJK yang bertindak mengikut tugasan masing-masing turut dilaksanakan.
14 Julai 2010 (Rabu)
Ceramah kepada para peserta yang bertajuk Peranan Belia Ke Arah 1Malaysia disampaikan oleh Encik Izwandin, penceramah dari Majlis Belia Malaysia. Melalui ceramah ini, penerangan berkenaan peranan belia dalam pembangunan negara ditekankan.
Persiapan untuk Majlis Perasmian Program Integrasi Nasional 3S telah diadakan sejurus selepas sesi ceramah berkenaan. Para diagihkan mengikut tugasan masing-masing dan namun begitu, peserta boleh membantu rakan-rakan lain jika diperlukan. Latihan persembahan tarian 1Malaysia yang merangkumi bangsa Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum seperti dari Sabah dan Sarawak turut diadakan sebelum majlis yang akan berlangsung pada sebelah malamnya.
Majlis Perasmian Program Integrasi Nasional 3S telah disempurnakan oleh Dato’ Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang pada sebelah malam disamping persembahan dari para peserta program ini.
Program Integrasi Nasional 3S Peringkat Negeri Pulau Pinang Kampung Jalan Bharu, Balik Pulau 15 - 19 Julai 2010 15 Julai 2010 (Khamis)
Para peserta dan pegawai pengiring bergerak menuju ke destinasi pertama iaitu Homestay di Kampung Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang dengan menaiki bas. Perjalanan selama hampir satu jam ini melalui bandar menuju ke kampung dengan panorama yang agak mengagumkan dengan kehijauan alam yang masih terpelihara.
Setibanya di Kampung Jalan Bharu, rombongan disambut oleh masyarakat kampung yang sudah sedia menanti ketibaan kami di sana. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Hj. Zainal, Pengerusi JKKP Kampung Jalan Bharu. Seterusnya ucapan oleh mantan ADUN Pulau Betong dan wakil dari JBS Pulau Pinang sebelum taklimat dan Majlis Penyerahan Keluarga Angkat.
Setiap peserta dan pegawai pengiring Saya bersama saudara Indran a/l Subramaniam, peserta dari Selangor diserahkan kepada keluarga Sarbiah Binti Ariffin, seorang pengusaha katering dan kedai makan di sana.
Pada sebelah petang iaitu aktiviti bersama keluarga angkat, kami berdua bersama dengan rakan-rakan yang ramai iaitu seramai 3 orang dan keluarga angkat masing-masing pergi menikmati Laksa Janggus iaitu sejenis laksa yang agak popular di Pulai Pinang. Sejurus selesai menikmati makanan di kedai, kami di bawa ke Pulau Betong, iaitu tempat pendaratan ikan.
Sebelah malamnya, peserta dikehendaki berkumpul di Dewan Tadika Islam yang terletak bersebelahan SK Sungai Korok bersama keluarga angkat masing-masing untuk sesi berkenalan dan taklimat untuk program seterusnya di Pulau Pinang.
16 Julai 2010 (Jumaat)
Lawatan pertama kami pada pagi ini adalah ke Ladang Herba Sungai Korok yang diusahakan oleh Paksu Dino. Di ladang ini, perbagai herba dan pokok untuk tujuan perubatan tradisional ditanam. Sesi taklimat berkenaan herba diterangkan kepada para peserta oleh Paksu Dino sendiri di ladang berkenaan. Di sana, kami menikmati air limau madu yang rasanya seakan-akan air limau yang dicampur asam.
Pada sebelah petangnya, lawatan ke IKS yang berhampiran. Lawatan pertama adalah perusahaan membuat Kuih Bahulu di kawasan berhampiran tempat kami berkumpul untuk Majlis Penyerahan Keluarga Angkat. Seterusnya perusahaan kraf dari kertas surat khabar kaum ibu untuk gubahan hantaran, bakul dan lain-lain lagi. Lawatan terakhir sekali adalah perusahaan membuat kicap oleh Hajah Maliah. Perusahaan ini kebanyakan dibuat di kawasan berhampiran rumah dan juga rumah mereka sendiri secara kecil-kecilan dan edaran dalam kawasan setempat.
Aktiviti bersama keluarga angkat sejurus lawatan ke IKS pada hari ini, kami seramai 6 orang dari tiga keluarga angkat keluar bersama-sama menuju ke Kawasan Perkelahan Pasir Panjang yang mana kawasan ini pernah dilanda bencana Tsunami pada akhir tahun 2004. Sejurus melawat kawasan perkelahan berkenaan, kami dibawa oleh keluarga angkat ke Bukit Tinggi. Di kawasan ini, terdapat peniaga yang menjual Durian Balik Pulau. Selepas menikmati makanan dan minuman di sana, kami dibawa menuju ke pinggiran pantai berhampiran Queensbay Mall. Di hadapan, terletaknya Pulau Jerejak yang dahulunya menempatkan banduan dan dari jauh boleh nampak pemandangan Jambatan Pulau Pinang.
17 Julai 2010 (Sabtu)
Aktiviti pertama pada pagi ini adalah acara gotong-royong bersama masyarakat kampung untuk memindahkan khemah kanopi yang berada di kawasan berhampiran ke kawasan kami berkumpul kerana pada hari terakhir kami berada di Balik Pulau, Majlis Penyerahan Keluarga Angkat akan diadakan di sana. Aktiviti kami pada pagi ini tidaklah banyak kerana hanya aktiviti gotong-royong yang diadakan.
Sukaneka peserta bersama penduduk kampung bermula pukul 2 petang sehingga pukul 6 petang. Peserta kategori wanita bermain permainan seperti Boling Buah Kelapa, belon berisi air dan lain-lain. Kategori lelaki iaitu bola sepak bersama belia kampung bermula pukul 4 petang dan dipecahkan kepada empat kumpulan.
Aktiviti pada malam hari ini adalah Majlis Makan Malam bersama MBD daerah Barat Daya dan Malam Kebudayaan diadakan kira-kira pukul 8.30 malam. Selain persembahan dari kami sebagai peserta, turut diselitkan juga dengan persembahan dari penduduk Kampung Jalan Bharu.
18 Julai 2010 (Ahad)
Pada kira-kira pukul 8.30 pagi hari, peserta dibawa menyaksikan persembahan Matra Buana iaitu persembahan Persilatan Melayu di Kompleks Sukan Balik Pulau. Kami di sini tidaklah lama kerana kami akan bersiap-siap untuk majlis penutup yang akan diadakan pada sebelah tengahari kira-kira pukul 12 tengahari.
Sesudah selesai majlis penutup di Pulau Pinang, kami dibawa sekitar Pulau Pinang dengan menaiki bas. Kami sempat singgah sebentar untuk bergambar di Empangan Teluk Bahang. Empangan ini mampu memenuhi keperluan bekalan air untuk separuh penduduk Pulau Pinang.
Sebelum kembali ke Kompleks Belia dan Sukan di Batu Uban, kami dibawa ke Queensbay Mall untuk membeli barangan keperluan sebelum berangkat ke Sarawak pada keesokan harinya.
19 Julai 2010 (Isnin)
Pada pukul 4 pagi, para peserta dikehendaki bangun dan bersiap dengan barang-barang masing-masing kerana pada hari ini kami akan bergerak menuju ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kami akan mengambil pula penerbangan ke Sibu, Sarawak.
Program Integrasi Nasional 3S Peringkat Negeri Sarawak Rumah Agan, Sungai Mador Bintangor, Sarikei 19 – 23 Julai 2010 19 Julai 2010 (Isnin)
Kami tiba di Lapangan Terbang Sibu setelah menempuh perjalanan selama dua jam di perut kapal terbang. Rombongan kami disambut oleh wakil dari Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Sejurus itu kami dibawa menaiki bas sehingga ke tempat penginapan di Bandar Sibu. Aktiviti bebas selepas mendaftar masuk ke bilik di Hotel Premier, Sibu.
Pada pukul 5.30 petang, sesi taklimat perjalanan program diadakan oleh wakil dari Jabatan Belia dan Sukan Sarawak. Taklimat ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kami sepanjang berada di Sarawak tentang adab resam dan budaya kaum-kaum yang terdapat di sana.
Pada sebelah malamnya, Welcoming Dinner diadakan untuk meraikan kedatangan kami ke Sarawak. Ucapan dari pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sarawak dan sesi bergambar diadakan sejurus acara selesai.
20 Julai 2010 (Selasa)
Sebelah pagi, kami melakukan senaman yang dinamakan Sarawak Cergas di Sibu Gateway iaitu satu bangunan berbumbung yang terbuka dan ianya terletak bersebelahan Ling’s Clan Garden. Senaman pagi ini dikendalikan oleh beberapa orang pegawai dari Sarawak. Senaman ini adalah kombinasi dari beberapa jenis tarian kaum-kaum yang ada di Malaysia.
Selepas sarapan, kami bergerak ke kawasan bersejarah di Sibu. Di sana, taklimat disampaikan oleh Encik Bol Hassan Junaidi,anak saudara kepada Allahyarham Rosli Dholi, pejuang kemerdekaan di negeri Sarawak. Lawatan ke Makam Pahlawan sejurus sedikit penerangan. Sesudah selesai melawat kawasan makam,kami dibawa semula ke bilik mesyuarat untuk sesi taklimat lagi dan penerangan berkenaan Rosli Dhobi dan sejarah perjuangan beliau.
Pada tengaharinya, kami bergerak ke Pejabat Residen Bahagian Sibu di Wisma Sanyan. Sesi penerangan tentang sejarah Sibu dan kawasan-kawasan serta ekonomi penduduk di sana disampaikan oleh wakil dari sana. Lawatan ke Lau King Howe Hospital Memorial Hospital diadakan selepas kami melawat pejabat kerajaan tempatan Sibu itu. Hospital ini merupakan sebuah muzium yang menempatkan koleksi peralatan, pakaian dan kelengkapan hospital yang pernah digunakan untuk merawat pesakit sejak sebelum merdeka lagi iaitu sekitar tahun 1930-an.
Selesai sahaja lawatan tersebut, kami dibawa ke tepi Sungai Rajang dan bergambar berhampiran kawasan sana. Lawatan kami seterusnya adalah Bukit Aup yang mana ia merupakan kawasan rekreasi dan pernah menempatkan kawasan perkuburan kaum Iban suatu ketika dahulu.
Lawatan ke Wong Nai Siong Memorial Garden yang terletak di tepi Sungai Merah yang mana di situlah perintis Fucau, Wong Nai Siong mula-mula sampai di Sibu dan membuka kawasan penempatan di sana dan merubah pembangunan Sibu. Mengikut kata penduduk tempatan, air sungai yang berada di tepi kawasan tersebut akan berwarna kemerahan apabila menjelang petang.
Pada sebelah malamnya, kami berjalan kaki ke Sibu Town Square untuk menyaksikan acara 9th Borneo Culture Festival 2010 yang diadakan dari 16 hingga 25 Julai 2010. Pelbagai makanan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak boleh didapati disamping konsert di beberapa buah pentas etnik yang ada di sana.
21 Julai 2010 (Rabu)
Selesai sahaja mengemas barang untuk aktiviti seterusnya, kami akan berangkat ke Sarikei iaitu ke Rumah Panjang Agan, Sungai Mador, Bintangor. Perjalanan ini mengambil masa selama hampir dua jam dengan menaiki bas dari Sibu ke destinasi ini.
Sejurus tiba di Rumah Panjang berkenaan, kami disambut oleh Tuai Rumah iaitu Encik Agan Anak Luak. Di samping itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, YBhg. Encik Mohd Selihin B. Hj Kachon turut ada untuk merasmikan Majlis Penyerahan Anak Angkat di sana.
Di sini, saya bersama dengan saudara Zaidi Bin Abdullah peserta dari Kedah dan saudara Zainal Bin Bujang dari Sarawak. Pada petangnya, aktiviti pertama kami ialah Majlis bersama penduduk dan aktiviti sukaneka di kawasan berhampiran. Selesai sahaja aktiviti berkenaan, kami dibawa ke sungai berhampiran untuk mandi di sana.
Persembahan Malam Kebudayaan pada malam ini diadakan selepas makan malam iaitu kira-kira pukul 9 malam. Persembahan dari kumpulan Rakan Muda penduduk setempat dan kami juga diminta mempersembahkan persembahan di sana. Aktiviti malam ini boleh berlanjutan berlanjutan sehingga pukul 4 pagi tetapi kami sebagai peserta diminta menamatkan aktiviti sehingga pukul 12 tengah malam kerana aktiviti kami pada pada keesokan harinya.
22 Julai 2010 (Khamis)
Sarawak Cergas turut diadakan di sini tetapi tidak melibatkan pegawai seperti di Sibu. Aktiviti ini dilakukan oleh pihak kami, peserta dan penduduk Rumah Panjang berkenaan. Senaman ringkas diadakan di kawasan lapang berhadapan Rumah Panjang sebelum sarapan pagi dan aktiviti kemasyarakatan.
Aktiviti kemasyarakatan kami di sini adalah seperti membersihkan kawasan sekitar Rumah Panjang dan dalaman yang sebelum ini diadakan persembahan Malam Kebudayaan. Majlis Penyerahan Semula anak Angkat diadakan kira-kira pukul 11 pagi. Ucapan penutup disampaikan oleh YB Tuan Ding Kuong Hiing, Ahli Parlimen P.208 Sarikei.
Persembahan Tarian Ngajat diadakan sejurus itu. YB turut serta melakukan tarian tersebut. Kami turut serta melakukan tarian tersebut dan mengelilingi Ranyai, iaitu pokok yang dihiasi dengan beraneka barangan, yang tergantung sekeliling pokok dengan tali. Apabila setiap seorang selesai melakukan tarian yang diakhiri dengan memotong satu barangan yang tergantung di pokok berkenaan dengan parang. Ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh kami semua.
Taman Tasik Sarikei yang terletak di laluan perjalanan kami pulang ke Sibu turut kami singgahi. Kawasan ini adalah kawasan taman yang sesuai untuk beriadah bersama keluarga di hujung minggu.
Kami peserta tiba semula di hotel yang mula-mula kami menginap di Sibu. Pada malamnya pula, Majlis Randau Makan Malam bersama SABERKAS Sibu iaitu persatuan belia yang terbesar di Sarawak di adakan di Bandar Sibu bagi meraikan kami peserta 3S dan pegawai pengiring di Sarawak.
23 Julai 2010 (Jumaat)
Bersiap untuk ke Lapangan Terbang Sibu dan berlepas ke Sabah dengan menaiki kapal terbang Maswings ATR 72-500 dan juga dikenali dengan nama Fokker. Perjalanan ini mengambil masa hampir dua jam dengan ketinggian 17,300 kaki dari aras laut.
Program Integrasi Nasional 3S Peringkat Negeri Sabah Kampung Usaha Jaya, Bukit Garam, Kinabatangan 23 – 27 Julai 2010 23 Julai 2010 (Jumaat)
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 1 petang. Di lapangan terbang ini, kami berehat dan makan sebentar sebelum mengambil penerbangan ke Sandakan. Berlepas ke Sandakan dengan kapal terbang kira-kira pukul 3 petang. Penerbangan kami ini mengambil masa kira-kira satu jam lebih dengan menaiki Fokker dan tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira pukul 4.20 petang
Dari Lapangan Terbang Sandakan, kami dibawa menaiki bas bergerak ke destinasi dan singgah sebentar di bandar Sandakan sehingga pukul 5.30 petang untuk membeli sedikit barangan keperluan dan mengalas perut sebelum menuju ke destinasi berikutnya.
Rombongan kami ini tiba di Kampung Usaha Jaya, Bukit Garam, Kinabatangan, Sabah kira-kira pukul 7.30 malam. Di sana,kami disambut dengan paluan kompang oleh sepasukan kompang dari penduduk GDW Kampung Usaha Jaya, Bukit Garam, Kinabatangan Sabah.
Taklimat dan Majlis Penyerahan Keluarga Angkat di Dewan Serbaguna Tawoi Maratu di sampaikan oleh pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan (P) Daerah Kinabatangan, Encik Wahid Bin Zainal.
Penyerahan peserta kepada keluarga angkat diadakan sejurus selepas sesi taklimat. Di Sabah ini, saya bersama peserta dari Selangor iaitu saudara Indran a/l Subramaniam dan peserta dari Sarawak iaitu saudara Zainal Bin Bujang. Kami diserahkan kepada keluarga Encik Zakaria Bin Lazim dan Puan Sarnimah Bte Hj. Mislong.
24 Julai 2010 (Sabtu)
Aktiviti kami yang pertama dilakukan adalah Program kemasyarakatan bersama penduduk kampung membersihkan kawasan sekitar Dewan Serbaguna Tawoi Maratu dan Kampung Usaha Jaya. Antara aktiviti yang telah dilakukan adalah seperti mengecat semula kawasan dewan termasuk di luar dan dalam dewan. Setiap diantara kami ada tugas masing-masing dan membantu penduduk setempat mengalihkan kerusi batu di hadapan dewan serta memacakkan potongan buluh di sepanjang jalan di kampong berkenaan sebelum dicat oleh penduduk yang lain.
Selesai sahaja aktiviti gotong-royong bersama penduduk, saya dan salah seorang ahli keluarga angkat pergi Pekan Kinabatangan bersama dua lagi rakan peserta 3S untuk membeli sedikit barangan dapur. Pekan ini agak jauh dari kampung dan perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit dengan menaiki kenderaan. Senamrobik bersama masyarakat kampung diadakan di dalam Dewan Serbaguna Tawoi Maratu kira-kira pukul 4 petang.
25 Julai 2010 (Ahad)
Sukaneka atau lebih dikenali juga dengan nama Sukan Rakyat telah diadakan pada sebelah pagi iaitu kira-kira pukul 7.30 pagi. Ianya bertempat di kawasan lapang yang tidak berapa jauh dari dewan yang kami gunakan sebelumnya. Acara terbahagi kepada beberapa kategori antaranya kanak-kanak, belia dan dewasa. Sambutan amat mengalakkan dan mendapat sokongan penuh dari masyarakat setempat. Antara acara-acara tersebut adalah Mencari Gula-gula Di Dalam Tepung, Tarik Tali, Isi Air Ke Dalam Botol dan lain-lain lagi.
Persediaan Malam Kebudayaan telah diadakan pada sebelah petangnya. Acara pada malam ini adalah Malam Kebudayaan dan ianya adalah persembahan pertama kami di Sabah. Pada malam ini, kami akan mempersembahkan Tarian 1Malaysia iaitu persembahan wajib kami sepanjang program ini berlangsung. Selain itu terdapat juga persembahan sampingan lain. Salah satunya adalah Dikir Barat dan lagunya adalah Anak Tupai yang dipopularkan oleh Halim Yazid. Menariknya, tidak ada pun peserta dari Kelantan namun ianya agak menarik untuk ditonton.
26 Julai 2010 (Isnin)
Lawatan kami semua di Sabah adalah ke IKS Usahawan Belia Jaya, iaitu lawatan ke Kedai Kek dan Pusat Kuih Tradisional. Ianya diusahakan oleh Puan Suhaila Bte Haji Mohd. Jukin atau lebih dikenali juga dengan nama Mama Faiz. Di sana kami semua telah diberi penerangan berkaitan usaha beliau membuka perusahaan ini dan walaupun perusahaan ini dibuat di rumah namun ianya mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk dan masyarakat di Sabah. Di sini juga diadakan tempat latihan untuk masyarakat terutama golongan belia yang berminat untuk mempelajari cara membuat kek.
Persiapan di Dewan Serbaguna Tawoi Maratu untuk majlis pada malam ini iaitu acara kemuncak Program 3S iaitu Perasmian Penutup akan diadakan pada pukul 8 malam. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil untuk melancarkan aktiviti berkenaan.
Majlis Penyerahan Keluarga Angkat dan Majlis Penutupan Program 3S Peringkat Kebangsaan 2010 telah disempurnakan oleh Dato’ Dr. Junaidy Bin Abd Wahab iaitu Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Selain persembahan dari kami peserta yang mempersembahkan Tarian 1Malaysia, Tarian India dan Dikir Barat terdapat juga persembahan dari penduduk antaranya Kulintangan iaitu permainan muzik serupa dengan caklempong tetapi tapaknya agak tinggi dan boleh dimainkan secara berdiri.
27 Julai 2010 (Selasa)
Pada hari ini kami akan bersiap dan mengemas barang untuk bertolak ke Lapangan Terbang Sandakan. Sebelum itu kami sempat bergambar dengan keluarga angkat masing-masing buat kali terakhir. Suasana sedih menyelubungi kami kerana ianya adalah hari terakhir program sepanjang dua minggu ini. Ada di antara kami menitiskan air mata kerana terpaksa berpisah dengan keluarga angkat masing-masing.
Setibanya kami semua di Lapangan Terbang Sandakan, peserta semenanjung, Sabah dan Sarawak akan berpisah di sini mengikut haluan masing-masing. Sebelum berpisah, kami sempat bergambar sebagai kenangan terakhir kami sepanjang program ini. Peserta dari semenanjung tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang. Kami dibawa ke Bukit Jalil sebelum bergerak menuju ke destinasi masing-masing.
Penghargaan
Cawangan Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara
Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang
Jabatan Belia dan Sukan Sarawak
Jabatan Belia dan Sukan Sabah
No comments:
Post a Comment