Banjir Pantai Timur 2004



Setiap orang mempunyai pengalaman masing-masing yang tidak dapat dilupakan. Begitu juga dengan aku dimana pengalaman ini telah saya kutip ketika bertugas sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Kelantan kira-kira 2 tahun nan lalu iaitu bermula dari 12 Disember sehingga 15 Disember 2004. Pada tahun tersebut, aku telah bertugas sempena banjir yang membabitkan negeri-negeri di sebelah bahagian Pantai Timur.

Pada mulanya saya keluar ke bandar Kota Bharu untuk melihat air yang telah mulai naik sejak 2 hingga 3 hari sebelumnya. Apabila melintas di hadapan Ibu Pejabat PBSM, aku telah dipanggil oleh salah seorang ahli sukarelawan yang juga satu unit Pasukan Bantuan Sukarela, Unit 3. Dia ada bertanya kepada aku sama ada boleh datang atau tidak untuk bertugas sebab pada hari tersebut tidak ramai yang datang bertugas sempena banjir. Aku terus bersetuju memandangkan tidak ada kerja yang lain dapat dibuat melainkan duduk di rumah sahaja dan menonton televisyen. Berbekalkan beberapa pasang pakaian dan kelengkapan lain, aku datang secepat mungkin ke sana. Apabila naik ke tingkat atas bangunan Ibu Pejabat PBSM, aku dapati ada catatan jumlah mangsa-mangsa yang telah dipindahkan dari kawasan yang dinaiki air dan ketinggian paras air tempat-tempat tertentu seperti Tangga Krai dan Tambatan Di-Raja. Apabila menjelang malam, beberapa orang lagi ahli sukarelawan datang melaporkan diri untuk bertugas.

Suasana pada hari aku mula-mula bertugas tidak ubah seperti pesta kerana orang ramai mula berpusu-pusu datang dan memasuki bandar untuk bermain air. Mereka datang dengan berbagai jenis pelampung dan berwarna-warni.Jelas terbayang di wajah masing-masing perasaan gembira terutama kanak-kanak, betapa seronoknya bermain air. Ada juga segelintir penjaja mengambil kesempatan sempena ‘pesta air’ ini dengan menjual minuman dan makanan seperti kacang dan ubi rebus serta beberapa jenis makanan lagi termasuklah jeruk. Pada sebelah malamnya, air mulai melimpah keluar melalui penutup longkang dan membanjiri kawasan rendah. Sebenarnya,ketika itu hujan sudah berhenti tetapi air semakin naik kerana air dari empangan dilepaskan daripada takungannya. Sekiranya air takungan empangan tidak dilepaskan, berkemungkinan besar terjadinya retakan pada empangan. Apabila empangan pecah akibat retakan tersebut, air tidak dapat ditakung dan kerugian harta benda penduduk semakin besar.

Kira-kira pukul 1 pagi, beberapa orang yang bertugas termasuklah denganku berjalan meredah air banjir dan menuju ke dalam bandar. Sebelum itu, aku sempat mengambil gambar buat kenangan semasa banjir pada tahun tersebut. Pada mulanya air hanya setinggi paras lutut dan lama-kelamaan semakin tinggi sehingga ke paras pinggang. Bangunan aras bawah Kompleks Mahkamah Kota Bharu ditenggelami air sehingga separuh bangunan. Kami bertujuh berjalan lagi meredah air banjir dan apabila sampai berhampiran Pasar Siti Khadijah, aku terpaksa menjinjing beg pinggang kerana di kawasan ini,paras air adalah setinggi paras dada. Ketika itu menggigil kesejukan kerana berendam, meredah air dan melawan arus. Perasaan bimbang kerana ketika ini kami berada di dalam air dan jikalau ada kabel elektrik yang bervoltan tinggi terputus dan terendam di dalam air, sudah tentu kami akan mati akibat terkena kejutan elektrik. Setelah merendah air dan berehat di tempat rehat di hadapan The Store ( sekarang sudah tidak ada lagi ),sekali lagi kami meredah banjir dan balik semula ke tempat kami bertugas.

Pada keesokan harinya, aku telah ditugaskan oleh En Razali Osman, salah seorang pegawai yang ada pada hari itu untuk mencatat bacaan paras air terkini dan jumlah mangsa yang telah ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir. Maklumat tersebut diperolehi dari berita yang dipancarkan menerusi siaran radio. Telefon turut disediakan kerana ada beberapa jabatan turut menghubungi saya menerusi talian tersebut untuk mendapatkan maklumat berkaitan banjir tersebut. Ahli-ahli yang lain telah pergi ke Hospital Kota Bharu untuk memindahkan pesakit ke bangunan Hospital Sultanah Zainab 2 yang terletak bertentangan kerana di kawasan Hospital Kota Bharu, paras air mencecah paras dada orang dewasa. Pada hari tersebut, aku telah menerima panggilan daripada Encik Misnan Kasan, pegawai PBSM di Ibu Pejabat Kebangsaan yang terletak di Jalan Ampang. Beliau ada bertanya sama ada pihak PBSM Cawangan Kelantan memerlukan apa-apa bantuan kerana pihaknya boleh menghubungi IRC ( International Red Cross and Red Crescent Society ) dan mendapat sokongan logistik. Apabila menjelang petang, tempat aku digantikan oleh ahli yang lain dan aku pula bergerak meredah air ke Hospital Kota Bharu. Selain PBSM, ada juga pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta orang ramai datang menghulurkan bantuan memindahkan pesakit ke tempat yang selamat. Ketika berada di hospital ini, aku sempat menaiki ambulans untuk memindahkan seorang pesakit ke dalam kenderaan warisnya yang menunggu tidak jauh dari hospital berkenaan.

Pada keesokan harinya iaitu Selasa 14 Disember 2004, bantuan berupa beras, sardin, biskut serta barangan lain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba dengan lori tentera di perkarangan tempat kami bertugas. Kami seperti biasa, telah ditugaskan untuk memasak makanan dan minuman kepada mangsa-mangsa pemindahan banjir yang ditempatkan di Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan, Jalan Mahmood, Kota Bharu. Tugas yang diamanahkan kepada kami sebagai anggota sokongan jika berlaku bencana alam adalah menyediakan makanan dan minuman kepada mangsa-mangsa di tempat-tempat pemindahan. Kebanyakan mangsa-mangsa dipindahkan ke tempat tersebut pada malam semalam dengan kenderaan tentera. Bekalan beras yang telah dibekalkan kepada kami, dimasak dengan menggunakan sejenis set peralatan memasak yang dipanggil ‘Clinton Cooker’ yang mampu menampung 250 orang pada satu-satu masa. Selepas makanan dan minuman siap dimasak, kami pindahkannya ke tempat tersebut yang terletak hanya di sebelah sahaja. Perasaan mangsa-mangsa kami dapati agak tertekan kerana mereka terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda di kediaman asal mereka. Ada beberapa orang mangsa banjir ini tidak berpuas hati dengan makanan dan minuman yang disediakan kerana ianya tidak sesedap dan seenak makanan yang mereka biasa makan sebelum ditempatkan di tempat berkenaan. Ada juga yang datang menghulurkan bantuan antaranya Persatuan Buddha Kelantan dan orang-orang perseorangan kepada mereka yang terlibat dengan bencana alam ini. Pada hari Rabu, 15 Disember 2004, air banjir beransur-ansur surut dan mangsa-mangsa yang ditempatkan di tempat-tempat pemindahan banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala pusat-pusat pemindahan banjir mula ditutup dan tugas kami sebagai sukarelawan sempena banjir pada tahun berkenaan tamat setakat itu sahaja.

Kesimpulan yang dapat aku buat semasa bertugas sebagai sukarelawan pada tahun itu adalah, setiap orang mempunyai perangai masing-masing dan apabila seseorang itu mengalami tekanan akibat malapetaka yang menimpa, dia akan berubah sikap dan kadang-kadang ianya merimaskan orang lain. Apa yang mengharukan dan menyentuh perasaan adalah sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pihak yang terbabit semasa bencana ini seperti tolong-menolong dan sanggup bersusah-payah membantu orang lain. Buat kerja biar ikhlas dan enjoy barulah gempak..!














p/s: Banjir mengajar erti kemanusiaan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...