Bah Kuning 2014 (1)

17 November 2014

Rabu

     Awal pagi ini kira-kira pukul 7.30 pagi seperti kebiasaan aku akan buka Facebook bagi melihat apa post yang terbaru dari rakan-rakan dan page yang telah disertai termasuk juga group-group yang ada. Memandangkan aku berada di tanah kelahiranku Kelantan Darul Naim, jadi bolehlah berehat lama sedikit tambahan pula ketika ini musim tengkujuh, hujan membasahi tanah yang sekian lama kekeringan.

     Aku terpandang satu post dari badan beruniform yang telah aku sertai dan menjadi salah seorang sukarelawan bagi Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Kelantan. Dalam post tersebut, ada meminta kepada sukarelawan supaya bersedia untuk digerakkan ke lokasi pusat pemindahan banjir yang telah ditetapkan. Beberapa sungai juga dilaporkan telah melepasi paras amaran dan bahaya. Aku menyahut seruan tersebut memandangkan tidak ada apa-apa urusan yang hendak dibuat.

Post dimuatnaik pada pukul 7.39 pagi, 17 November 2014.

     Selesai sahaja bersiap termasuk menyediakan beberapa pasang pakaian kerana akan bermalam di sana, aku terus memandu kereta menuju ke Rumah Amal Tengku Muhammad Faris Petra dimana ianya terletak di Jalan Mahmood. Jarak dari rumah ke sana kira-kira 25 Kilometer. Disana merupakan pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Kelantan. Semasa dalam perjalanan menuju ke sana, kelihatan trak 3 tan tentera di Ketereh. Pada fikiranku, ianya tidak menjadi sesuatu yang luar biasa kerana ada kem tentera, Kem Desa Pahlawan  di Kok Lanas. 


Trak 3 Tan kelihatan di Ketereh.


     Hujan rintik-rintik berterusan sepanjang perjalanan menuju ke Kota Bharu pada hari ini. Setibanya di perkarangan tempat yang dituju, cuaca masih mendung lagi. Selesai sahaja mengisi barang yang hendak dihantar ke pusat pemindahan banjir ke dalam lori 1 tan, kami akan bergerak menuju ke sana selepas menunaikan solat Fardu Zohor.



Jumper bateri lori yang telah diganti. Bateri asal telah dicuri. 

     Kira-kira pukul 2 petang, kami bertiga bertolak menuju ke destinasi telah dirancang. Sebelum itu kami singgah sebentar di stesen minyak Carltex di Lebuhraya Salor-Pasir Mas untuk mengisi minyak ke dalam tangki lori.

Bergambar di stesen minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.

     Perjalanan kami selepas mengisi minyak adalah ke SK Gual Tinggi, Rantau Panjang. Ianya merupakan pusat banjir yang telah ditetapkan sepertimana yang ada di dalam peruntukan kepada pusat-pusat pemindahan banjir. Jika ada peruntukan, di tempat-tempat pemindahan banjir akan dihantar bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir yang telah ditempatkan di sana. 

     Perjalanan kami menuju ke sana melalui Sekatan Jalanraya oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).   


Sekatan Jalanraya oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

     Perjalanan kami ke SK Gual Tinggi kira-kira pukul 2.50 petang iaitu kira-kira 30 minit dari tempat kami mengisi minyak tadi. Setibanya kami di sana, orang yang berurusan dengan kami tidak ada di tempat berkenaan. Ini memaksa kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi kedua iaitu ke SK Sri Rantau Panjang 2.

SK Gual Tinggi terpaksa kami tinggalkan dahulu.

     Perjalanan kami menuju ke destinasi setrusnya lebih kurang 10 minit dari SK Gual Tinggi. Kami bernasib baik kerana dapat serahkan kelengkapan memasak kepada pengawal keselantan yang bertanggungjwab untuk menerima barang kelengkapan bagi pihak sekolah.  











     Selesai sahaja menghantar kelengkapan memasak di sekolah tersebut, kami singgah di sebuah kedai yang terletak berhampiran dengan lampu isyarat yang mana ianya akan kami gunakan untuk menuju ke lokasi pertama kami tadi. Hujan turun dengan lebatnya dan tidak berhenti-henti ketika ini. Makan Roti Tempayan berkuahkan Gulai Daging Kambing kami pada hari ini.

Juadah tersedia di atas meja; Roti Tempayan dan Daging Gulai Kambing

     Perjalanan balik semula ke sekolah pertama tadi melalui hadapan Masjid Beijing yang terletak di Rantau Panjang. Hujan tetap turun tanpa henti-henti. Keadaan jalan yang basah amat merbahaya kepada kenderaan yang bergerak laju kerana jika brek secara mengejut, tayar tidak mencengkam jalan. 

Masjid Beijing, Rantau Panjang pada 17 Disember 2014

Balai Bomba Rantau Panjang, 17 Disember 2014

     Kami tiba semula di SK Gual Tinggi kira-kira pukul 4.20 petang. Kali ini pengawal keselamatan sudah ada di sekolah. Kelengkapan memasak yang kami bawa dibawa turun dan diletakkan di tempat yang telah dikhaskan oleh pihak sekolah. Borang yang dibawa kemudiaan ditanda bagi setiap barang yang telah dipinjamkan kepada pusat pemindahan banjir. Selesai sahaja kerja kami, kami bergegas pulang ke bandar Kota Bharu. 









     Hujan yang turun mencurah-curah nampaknya seperti tidak akan berhenti mencurahkan airnya ke bumi Kelantan. 


     Di sepanjang perjalanan pergi dan balik, di kiri dan kanan jalan di atas dari Rantau Panjang menuju ke Lebuhraya Salor-Pasir Mas kelihatan ramai penduduk sekitar membuka payung dan berniaga ikan. Memang kebiasaan Orang Kelantan, di mana ada tempat dan peluang, mereka akan mula berniaga.

Penduduk setempat berniaga ikan di tepi jalan.

Air mulai naik dan rumah yang kawasan rumahnya rendah akan terkena banjir.

Perjalanan pulang, hujan tidak berhenti-henti turun.

     Selesai sahaja tugasan pada hari pertama. Pada keesokan harinya kami akan mulai bersiap memunggah barang masuk ke dalam lori 1 tan pada kira-kira pukul 3 pagi. Hujan tidak berhenti-henti dan tanpa disedari lagi, ianya sebenarnya adalah satu tragedi yang berulang, hampir sama seperti 10 tahun lepas malah ianya lebih teruk lagi.




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...