Playboy Islamik




Rasa cinta, suka, tertarik dan sebagainya adalah fitrah manusia. Sampai masa, sampai ketika, semua perasaan tersebut akan mendatangi kita. Ini normal. Allah Ta’ala menyebut dalam Surah Ali Imran ayat 14 :




Maksudnya : Dijadikan indah pada ( pandangan ) manusia , kecintaan kepada apa yang diingin, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan sisi Allah tempat kembali yang baik. ( Ali Imran : 14 )


Cuma, perasaan tersebut perlulah diurus sebaiknya. Bila kita gagal mengurus perasaan tersebut dengan baik, dan hanya asyik tenggelam dalam perasaan tersebut sahaja, maka timbullah pelbagai masalah kepada diri kita sendiri.


Antara contoh permasalahan yang timbul adalah istilah ‘Playboy Islamik’ yang agak popular di kalangan pelajar agama. Guna ayat-ayat manis, tazkirah dan sebagainya untuk tackle hati perempuan. Kemudian bila sudah dapat, ditinggalkan dan dicari pula yang lain.

Kalau kita tengok, istilah ‘playboy’ dalam takrifan barat lebih dahsyat. Bahkan ada majalah dengan nama tersebut yang isinya cukup lucah. Istilah tersebut nyata suatu istilah yang tidak baik, dan bila kita kembarkan dengan nama ‘Islam’ ia dilihat cukup tidak cantik.


Apapun, cuba kita perhatikan kembali pokok permasalahan yang sebenar. Hanya ada dua faktor lahirnya gejala tersebut:


1. Lelaki

2. Perempuan


Nampak macam simple, tapi impaknya memang parah.


LELAKI


Para pemuda di aliran agama, adalah mereka yang diyakini akhlak mereka. Apatah lagi yang menghafal Al-Quran, hadith, belajar ilmu syariah dan sebagainya. Sukar untuk kita katakan aliran agama itu melahirkan ‘playboy’. Tetapi kita boleh katakan, ramai sekali syaitan yang berkumpul di sana untuk menyesatkan setiap satu jiwa pemuda di dalamnya. Dan antara suntikan syaitan yang paling berbisa adalah wanita. Sabda Nabi s.a.w :


مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ


Maksudnya : Aku tidak meninggalkan sepeninggalanku fitnah yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita ( Bukhari dan Muslim )


Pemuda soleh yang tidak pernah kenal dengan wanita, jauh sekali mengerti apa itu cinta, apabila dipertemukan dalam gelanggang yang salah, maka porak perandalah dunia. Apabila mereka berhubung di luar garisan sewajarnya, maka ranaplah jiwa mereka dimamah godaan syaitan durjana.


Memang fitrah manusia, lelaki suka bercakap dengan perempuan. Kalau mahu mengadu, minta pendapat, luah perasaan dan segalanya, lelaki lebih suka dengan perempuan. Maka, apabila keinginan jahat terbit dari jiwa lelaki, dan perempuan pula menyediakan ‘layanan’ tersebut, seronoklah mereka. Seronok bertolong-tolongan atas perkara salah lagi maksiat.


Dalam sesetengah keadaan, lelaki tersebut asalnya hanya mahukan ‘kawan’. Tetapi dia silap apabila dia berkawan dengan orang yang salah dan dengan cara yang salah, lebih-lebih lagilah jika dengan tujuan yang salah. Dia tidak langsung berfikir tentang cinta, jauh sekali pernikahan. Bayangkan jika usianya waktu itu baru 18 atau 19 tahun. Tetapi kerana kawannya itu perempuan, dan perempuan itu pula nampaknya ‘mudah diperkudakan’ olehnya, maka berkawanlah dia dengan perempuan tersebut meskipun telah jauh melangkaui batas ikhtilat yang sebenarnya.

Sampailah saat dan ketika si perempuan mahukan kesudahan dalam perhubungan mereka, menyentuh tentang cinta, tentang nikah dan sebagainya, si lelaki mula menjauh. Tidak hairan kerana itu semua bukanlah tujuannya di awal perhubungan. Dan akhirnya, mudah-mudah sahaja dia berlepas diri dan mencari ‘kawan perempuan’ yang lain pula.


Tetapi tidak dinafikan juga wujud golongan lelaki yang niat dan tujuannya berkawan memang untuk mempermainkan perasaan perempuan semata-mata. Dan mungkin itulah gambaran utama istilah ‘playboy islamik’ tersebut. Perempuan yang jauh dari agama, perisa untuk mencairkan mereka adalah dengan kata-kata indah dan pujukan mengasyikkan. Perempuan yang teguh dengan agama pula, perisa untuk mencairkan mereka adalah dengan kata-kata tazkirah ‘plastik’, yang mana tujuannya tidak lain untuk melentokkan si perempuan.


Sekali pandang, ia menyerupai kata-kata masyhur daripada Saidina Ali karramallahu wajhah :


Kata-kata yang benar, tetapi dipergunakan untuk tujuan yang bathil.


Lelaki jenis itu, begitulah modus operandinya. Pada gadis ini digambarkan bahawa dirinya sangat soleh, tidak berkawan dengan perempuan, dan hanya perempuan itu satu-satunya gadis yang dia kenal. Walhal, dalam masa yang sama, kata-kata serupa diungkapkan kepada ramai lagi gadis yang lain.

Hakikatnya, lelaki yang berada dalam kondisi demikian, adalah lelaki yang jauh hatinya dari hakikat keimanan. Tak payah cakap pasal jadi suami, jadi lelaki pun tidak layak. Kerana lelaki itu digambarkan oleh Allah sebagai pelindung, pemimpin dan pembela kepada orang perempuan. Maka jika lelaki bertindak sebaliknya, mengambil kesempatan atas jiwa-jiwa yang lemah, gemar melihat perempuan menangis kerananya, dia sebenarnya masih jauh dari hakikat seorang lelaki, apatah lagi pemuda yang dikehendaki oleh agama.


Jika tidak bertaubat, segala dosanya kepada setiap jiwa yang dipermainkannya, akan menjadi igauan ngeri buat dirinya sehingga mati.


PEREMPUAN


Kalau yang perempuan pula, sangatlah mudah jatuh hati dengan lelaki yang suara sedap, pakai kopiah, pandai bagi tazkirah, disegani ramai dan lain-lain. Kehebatan lelaki tersebut menjadi idolanya tanpa sedar. Hakikatnya, dia sukakan peribadi mulia pada lelaki tersebut. Apatah lagi di zaman kerosakan hari ini, mana nak jumpa lelaki yang baik. Sangat susah.


Maka apabila kebetulan lelaki tersebut berhubung dengannya, maka tidak keruanlah jadinya. Meskipun dia seorang yang anti couple, atau pejuang tegar masalah hati, namun berhubung dengan pemuda sehebat itu menjadikan dirinya serba tak kena. Bukan setakat mesej serius yang dilayan, bahkan mesej tidak serius juga diberi perhatian. Tidak dinafikan dia serba salah dengan tindakannya, tetapi mungkin ‘keyakinan’ pada agama si lelaki menjadikan dia begitu bendul.

Agama? Ya, ini persoalannya. Ramai perempuan yang tewas dengan ‘playboy islamik’ mengatakan di awalnya ; Aku jatuh hati dengan agamanya. Tidak mengapalah, jatuh hati dengan agama itu bagus.


Tetapi yang tidak bagus, mulut mengatakan jatuh hati dengan agama tetapi jiwanya sendiri tidak kenal dengan agama. Ini terbukti apabila agama yang ditakrifkan hanya terhenti pada merdunya suara, indahnya tutur kata, segaknya susuk perkasa dan hebatnya dia di pandangan mata. Kemudian apabila mesej sikit-sikit lama-lama jadi banyak, call siang hari lama-lama tengah malam, berbual hal-hal penting lama-lama tentang hati dan perasaan, maka semua itu juga terus diikuti atas nama ‘agama’?


Ini masalahnya apabila tidak berkenalan terlebih dahulu dengan agama, sebelum kenal dengan si pemuda. Kena ingat, agama ajar, kalau jatuh cinta atau betul-betul suka,


Si lelaki sila approach her wali, dan si perempuan sila jangan melayan dan mengikutkan semua kehendak si lelaki.


Itu baru betul cintakan agama.


PERANAN


Kalaulah kedua-dua lelaki dan perempuan memainkan peranan di atas dengan baik, insyaAllah banyak permasalahan akan selesai, termasuklah gelaran ‘Playboy Islamik’ itu sendiri. Istilah-istilah begitu timbulnya dek kerana tidak menjaga ikhtilat. Tidak menjaga batas pergaulan. Bebas bercakap apa sahaja. Suka berkawan berlainan jantina. Terlalu percaya pada ‘agama’ si lelaki atau wanita. Dan banyak lagi sebab-sebab yang lain.


Kerana itu, bila seorang perempuan melepaskan geram, kononnya dia dipermainkan oleh ‘Playboy Islamik’, maka perlu juga ditanya kepada si perempuan , apakah sumbangannya dalam ‘permainan’ tersebut?


Cuaca redup di petang hari

Mari berehat di atas jeti

Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi

Akhirnya nanti siapa yang rugi?


Saya selalu menyebut tentang peranan sebenar apabila jatuh cinta. Tidak kiralah lelaki itu ‘Playboy’, atau perempuan itu ‘Playgirl’, kita akan selamat sekiranya kita benar-benar memainkan peranan dengan baik. Kalau si lelaki terus melamar, tidak akan timbul isu dia rasa dipermainkan dalam perhubungan. Kalau si perempuan tidak melayan, tidak akan timbul isu dia rasa dipermainkan dalam perhubungan.


Kesimpulannya, ajakan kepada kejahatan ada di mana-mana. Fitrah yang gagal diurus dengan baik akan menjadi fitnah. Ia akan menyumbang kepada kerosakan yang berpanjangan. Maka, apa yang perlu kita perangi bukanlah orang-orang yang dilabel sebagai ‘Playboy / Playgirl Islamik’ itu, sebaliknya yang perlu kita perangi adalah kejahilan dan kelembikan jiwa kita sendiri. Ingat, memburu cinta sejati tidak cukup dengan semangat dan kata-kata, sebaliknya perlu berlandaskan ilmu, keimanan dan keyakinan yang teguh hanya kepada-Nya. Moga Allah berikan hidayah kepada kita semua, amin.



Sekian.


Sumber: Scripters


p/s: Tidak dinafikan, memang ramai begini. Mempergunakan agama untuk meraih perempuan yang diminati. Ada yang bertaruh, siapa yang dapat seseorang perempuan yang menjadi taruhan untuk membuatkan perempuan itu jatuh cinta kepada lelaki yang bertaruh diantara mereka. Selepas beberapa lama, perempuan tersebut akan ditinggalkan. Kemudian lelaki ini akan mencari yang lain. Mempergunakan agama dan kata-kata manis. Nauzubillahi minzalik'.



2 comments:

kindergartenlibrary said...

actually , depends . kalau masing-II pernah berbincang , berkomunikasi ke arah yang serius , yang ada komitmen ... memang takkan jadi rasa dipermainkan . :)

airmien said...

kalau ada komitmen takpe tp baik pergi jumpa wali dia terus dan bertunang serta kahwin..lebih baik dari kena fitnah..jauhi ikhtilat.. ada baiknya berhati-hati..wassalam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...