Apa Perlunya Pembedahan Mayat?



Oleh Inche Hassan Ahmad

(Fakulti Kedoktoran, Universiti Diponegoro)


Pembedahan mayat atau autopsi adalah suatu tindakan yang dijalankan di rumah sakit (hospital) untuk tujuan penyelidikan dan ini penting sekali untuk menegakkan keadilan dan juga untuk perubatan di dalam kehidupan kita sehari-hari.


Bagi orang yang kurang mengetahui tujuan murni autopsi, mereka berpendapat perkara ini sangat tidak wajar dijalankan apalagi kalau pembedahan itu dilakukan terhadap satu jasad yang sudah mati.

Pembedahan mayat terlalu sering mendapat tentangan daripada kaum keluarga si mati khasnya dan tidak kurang pula hebatnya tentangan daripada masyarakat kita umumnya.


Dalam memperbincangkan hal ini perlu sekali kita tinjau dari beberapa aspek apakah pembedahan mayat atau autopsi itu perlu dilaksanakan atau tidak dan mengapakah perkara ini mendapat tentangan yang begitu hebat dari masyarakat kita.


Masyarakat agak keberatan untuk menyetujui pembedahan mayat kerana antara lainnya terletak pada peraturan-peraturan agama, kepercayaan dn sebagainya. Misalnya, seseorang yang mati itu harus dikebumikan dengan cepat dan tidak boleh ditangguhkan sampai beberapa hari. Biasanya juga waris si mati tidak menyetujui autopsi atas alasan tidak sampai hati melihat mayat dibedah.


Mungkin waris si mati menganggap dalam autopsi semua organ-organ dalam badan seperti jantung, hati, peru-paru dan limpa diambil keluar. Ini anggapan yang salah kerana para doktor yang menjalankan autopsi tidak mempunyai hak mutlak untuk melakukan sesuatu sesuka hatinya apa lagi kalau tidak mendapat prsetujuan daripada ahli waris.


Di bidang ilmu kedoktoran, autopsi ini terdapat dalam bidang kedoktoran kehakiman atau forensic medicine. Bidang ilmu ini adalah khusus diikat oleh peraturan-peraturan dan undang-undang yang khusus pula. Jadi dalam menjalankan tugasnya, seseorang doktor itu tidak boleh melakukan sesuatu sewenang-wenangnya.

Autopsi atau pembedahan mayat tadi mempunyai tujuan-tujuan khusus dan pada dasarnya terdapat dua macam autopsi; pertama kita kenal dengan istilah autopsy medico legal dan keduanya ialah autopsy clinic. Kedua-duanya ini saling bantu membantu dan saling penting.


Autopsy medico legal adalah tindakan membedah mayat untuk tujuan-tujuan kehakiman dan keadilan masyarakat yang sangat perlu untuk menegakkan The Rule of Law dalam kehidupan kita sehari-hari. Pendeknya autopsy medical legal khusus dilakukan untuk kepentingan hukum. Autopsi ini hanya dijalankan untuk mengesan sesuatu perkara kejahatan atau pelanggaran atas permintaan pihak polis, kerana ada korban yang diduga pada mulanya sebagai korban bunuh diri, tetapi setelah dilakukan autopsi ternyata korban itu adalah korban pembunuhan yang kejam. Kadang-kadang sebaliknya juga sering terjadi. Sering kita mendengar khabar bahawa seseorang itu mati dalam keadaan tegantung dan sebagainya, secara sepintas lalu kita tentu membuat kesimpulan bahawa orang itu mati kerana bunuh diri.


Tetapi setelah dilakukan autopsy medico legal ternyata si korban tadi telah dibunuh terlebih dahulu sebelum digantung untuk mengaburi mata masyarakat. Kalau ternyata si korban telah dibunuh maka pihak polis akan berusaha mencari jejak pembunuh tadi. Jadi autopsy medico legal tadi sangat menolong kita dalam mencari keadilan sosial.


Pada kejadian lain, seorang yang kaya telah meninggal dunia. Walaupun kematiannya tidak secara mendadak tetapi setelah dilakukan autopsi tenyata dia mati kerana diracun. Pembunuhan secara halus ini kerana merebut harta pusaka.


Demikian pula ada orang meninggal dalam perkelahian dan setelah dijalankan autopsi ternyata orang itu mati bukan kerana perkelahian itu tadi, tetapi secara kebetulan si mati itu memang sudah lama menderita suatu penyakit yang dapat menimbulkan kematian mendadak.


Pemeriksaan mayat dari luar tidak memadai dan kita tidak dapat membuat kesimpulan yang tepat dan pasti, kalau tidak diperiksa itu dari dalam. Penemuan-penemuan pada autopsi tentunya menentukan nasib seseorang yang terdakwa yang berkaitan dalam perkara tersebut. Mungkin kerananya, ia akan dihukum berat atau ringan atau dibebaskan sama sekali.


Dalam satu kejadian seorang lelaki dipukul perutnya dan dia mati. Setelah diadakan autopsi, ternyata orang tersebut limpanya membesar kerana malaria dan limpanya robek akibat pukulan tadi. Andaikata limpa orang tadi normal dia tidak akan mati kerana pukulan tadi. Jadi hukuman kepada si terdakwa tentunya agak ringan.

Pada satu peristiwa lain seorang lelaki dilanggar kereta dan dia meninggal, tetapi setelah diautopsi ternyata dia meninggal bukan kerana pelanggaran tadi tetapi kerana dia mendapat serangan jantung ketika itu. Penemuan ini tentunya meringankan hukuman kepada orang yang melanggar.


Di sini jelaslah betapa pentingnya autopsy medico legal, sebagai satu tindakan yang dapat menolong pihak berkuasa menegakkan keadilan.


Autopsi yang sejenis lagi adalah autopsy clinic dan autopsi ini tidak kurang pentingnya dan ini secara langsung bermanfaat kepada keluarga si mati dan masyarakat sekeliling.


Yang penting dalam autopsi ini adalah mencari penyakit apa sahaja yang terdapat pada mayat inut dan apakah yang menyebabkan kematian. Dalam hal ini masyarakat menentang kerana autopsi ini dianggap sebagai bertujuan ilmiah atau penyelidikan semata-mata dan tidak ada faedahnya kepada waris.


Dalam satu kejadian lagi ada seorang meninggal kerana sakit kuat. Tapi setelah diadakan autopsi klinik ternyata penyakit tadi merupakan penyakit menular yang sangat bahaya. Anggota keluarga semuanya diperiksa dan yang sudah kena penyakit diubati dan yang belum harus dikebalkan terhadap penyakit itu. Jadi autopsi ini dapat menyelamatkan banyak nyawa dan di setengah-setengah negara 50% dari penyakit di rumah sakit diautopsi.

Ada orang mati disebabkan satu penyakit. Setelah diperiksa ternyata penyakit itu adalah penyakit turun-temurun yang sama, yang ada pada anggota keluarga lainnya. Memandangkan tentang bahaya penyakit tersebut, anggota keluarga tadi diberi nasihat mengenai cara hidup dan pengubatan sehingga merka dapat terhindar dari bahaya maut yang mengugat jiwa mereka.


Walaubagaimanapun tidak semua orang yang mati itu dibedah. Untuk melakukan pembedahan biasanya diminta izin daripada pihak warisnya terlebih dahulu. Dalam autopsi tidak semua bahagian dari dalam tubuh dikeluarkan tetapi hanya diambil sebahagian kecil yang berupa hirisan yang cukup untuk diperiksa di bawah mikroskop atau dengan alat-alat lain. Dan kalau pihak waris tidak menyetujui autopsi, maka hanya partial autopsy (autopsi sebahagian) sahaja dilakukan.


Dengan keterangan di atas jelaslah betapa pentingnya autopsy medico legal dan autopsy clinic untuk keadilan dan kebahagian kita sekalian. Dan di bidang kedoktoran, autopsi berdiri sendiri dan ada hukum-hukum tersendiri pula. Jadi tidak perlu kita bimbang atas perkara ini kerana orang-orang yang dapat melakukan autopsi adalah orang-orang yang dapat dipertanggungjawabkan.


Sumber: Majalah Dian Bil 166, September 2006, m/s 49-50

(-Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Dian Edisi Jawi Bil 48, tahun 1972. )


p/s: Yang paling ditakuti bukanlah mayat atau hantu tetapi manusia yang lebih daripada hantu perangainya.. Minta dijauhkan.. Amin..

2 comments:

CoNtE$teR said...

alo abam mie.... post mortem 2... mmg la d katakan zalim... but depend on family n status kes kematian... kalo post mortem clinical... mcm ner doc n AMO nk belajar anatomi.... hu3... cian ktorng... but kalo status kes itu jns medico-legal... kna wt report perubatan utk sahkn punca kmatian n so on... entah la... kalo tgok body (mayat... cian plak... uiii... kalo tgok houseman (doc pelatih)wt post mortem... ganas gler.. mcm lapah daging lembu jer... bab bukak otak... gua surrender... uiiss... bkn pe, xberani lg... hu3... ok oraiittt!!!

airmien said...

huhu..depends kat sesetengah orang jugak la nie..ada yang gerun tgk mayat dan ada yang tidak sampai hati untuk lakukan pembedahan sbb kesian dekat mayat..

wallahua'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...