Sejarah VAD MSU / PTPL Shah Alam

Sejarah VAD MSU / PTPL Shah Alam

Didaftarkan pada awal tahun 2009 oleh Encik Adi Mapers Pusak / Haizulyadi Bin Anwar untuk kegunaan Bulan Sabit Merah Malaysia kampus MSU dan kolaborasi dengan PTPL kerana pada tahun itu, MSU masih satu kawasan dengan PTPL Shah Alam.

Diulangi. VAD atau Voluntary Aid Detachment MSU merujuk kepada pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia MSU. Digazetkan pendaftaran di MSU pada tahun 2009 di bangunan lama, di pejabat Student and Career Development, bangunan block C.

Selepas kami menamatkan pengajian dan kembali ke kampung halaman, dan masih aktif dari dulu sehingga kini dengan Bulan Sabit Merah Malaysia negeri masing-masing.

Gambar-gambar dan video aku sendiri yang ambil semasa bertugas bencana dari awal penubuhan sehinggalah menamatkan pengajian. Gambar dan video termasuklah bangunan runtuh di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor (kini Pasaraya Jaya) tahun 2009 sebelah Digital Mall, tanah runtuh di Hulu Langat 2011 dan termasuklah duty Hari Thaipusam 2009 dan 2011. Video bencana ada aku masukkan di Youtube atas nama VAD MSU (Bulan Sabit Merah Malaysia, bukan persatuan lain). Gambar bencana, bertugas dan kronologi bencana ada di dalam blog ini dan aku sendiri yang menukisnya.

Selepas tamat belajar, timbul isu penggunaan nama VAD MSU untuk persatuan lain. Student and Career Development (SCD), macam mana boleh luluskan nama yang dah didaftarkan untuk persatuan lain dan persatuan lain boleh pakai?  Dulu ada seorang student MBBS yang bukan ahli Bulan Sabit Merah Malaysia masuk ke group VAD MSU dan cipta logo dan proposal untuk setiap aktiviti yang akan datang. Yang tak tahan, siap pakai nama VAD MSU yang dari tahun 2009 didaftarkan bagi Bulan Sabit Merah Malaysia untuk persatuan baharu ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15

Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),  baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah  Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain  meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu :-

Persatuan Menembak Kelantan;
Yayasan Sultan Kelantan (YSK);
Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan;
Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan;
Persatuan Sukan Berkuda;
Persatuan Motor 4 x 4;
Persatuan Memanah;
Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor - Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan - April 2011)., D.K. (Johor - 2011)., D.K. (Perak - Julai 2011)., D.K. (Perlis - Oktober 2011)., D.K. (Kedah - Mac 2012)., D.K.(Terengganu - November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017).

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat  seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.  

Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

Menarik Minat Menyertai Pasukan Beruniform

Apa yang anda lakukan bagi menarik minat orang ramai menyertai pasukan beruniform anda?

Bagi saya;

1. Penggunaan laman sosial yang lebih efektif.
2. Update sentiasa program pasukan anda.
3. Hebahan program yang akan datang.

Sekarang ini zaman maklumat di hujung jari. Penggunaan uniform yang salah juga hasil dari maklumat di hujung jari. Sepertimana yang pernah saya sendiri tanyakan soalan dari mana mereka mendapatkan maklumat berkenaan yang salah dari segi pemakaian. Menambah-nambah aksesori yang tidak sepatutnya ada juga hasil carian dalam internet.

Bagi mengatasi permasalahan ini, 'counter' balik atau hebahan kepada kepada umum perlu dilakukan.

Pegawai Tugas-tugas Khas Jajahan Kota Bharu Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan.

Gangguan Seksual

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja (Tidak Lupa Persatuan).

BENTUK-BENTUK GANGGUAN SEKSUAL

Gangguan seksual di tempat kerja terbahagi kepada beberapa bentuk menurut Kod Amalan. Antara bentuk-bentuk gangguan seksual adalah gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara psikologi dan gangguan secara fizikal.

1. Ganguan Secara Lisan

Gangguan secara lisan merujuk kepada kata-kata, komen, gurauan, usikan bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual. Gangguan secara lisan adalah satu permulaan gangguan seksual. Contohnya, pengganggu seksual sering memuji mangsa dengan menyatakan mangsa mempunyai tubuh badan yang cantik dan pengganggu tersebut mengaku bahawa dia tergoda. Ini secara tidak langsung berlakunya gangguan seksual secara lisan.

2. Gangguan Secara Isyarat

Gangguan seksual juga boleh berlaku secara Isyarat ataupun bukan lisan. Ia seperti pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan. Contohnya, si pengganggu seksual akan sentiasa memandang mangsa sehinggakan mangsa berasa tidak selesa dengan keadaan tersebut.

3. Gangguan Secara Visual

Gangguan seksual secara visual pula adalah seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual dan mendedahkan bahagian bahan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah. Contohnya si pengganggu menghantar mesej-mesej, video-video ataupun gambarnya sendiri yang berunsur lucah ke telefon pintar mangsa. Hal tersebut mengakibatkan mangsa berasa tidak selamat dan mengganggu ketenteraman mangsa.

4. Gangguan Secara Psikologi

Gangguan secara Psikologi seperti mengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima dan memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan. Pengganggu akan terus merayu untuk keluar bersama sehingga mencapai apa yang di mahukan. Dan akhirnya jika mangsa sudah tiada alasan untuk menolak pelawaan tersebut perkara yang lebih buruk dan tidak diingini mungkin akan terjadi seperti mangsa berkemungkinan akan dicabul.

5. Gangguan Secara Fizikal

Gangguan seksual yang terakhir adalah gangguan secara fizikal. Gangguan fizikal merupakan gangguan yang paling meninggalkan kesan terhadap mangsa. Antara jenis-jenis gangguan fizikal adalah sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan serangan seksual. Gangguan fizikal boleh berlaku secara tidak sedar, contohnya si pengganggu seksual tersebut dalam keadaan bergurau telah menampar dan mencubit mangsa. Mangsa mungkin tidak sedar dan menganggapnya sebagai satu gurauan semata-mata. Tetapi si pengganggu seksual akan berasa puas dan ingin menyentuh di bahagian lain pula sekiranya perbuatannya tidak di tegah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...